Assalamualaikum…
Allah menyebut kedua-dua ayat yang mulia ini dalam surah Al-Isra’ sebagai pesanan kepada hamba-hambanya yang berbunyi : “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Surah Al-Isra’ 17 : 36-37)
Ayat yang pertama menerangkan tentang pendidikan ilmiah dalam diri seorang muslim. Ia juga menerangkan bahawa di sana ada dua jenis atau cara pemikiran:
- Pemikiran cetek yang senang mempercayai khurafat serta mudah dipengaruhi oleh waham, kebatilan dan perkhabaran tanpa usul periksa. Pemikiran seperti ini ditolak secara total oleh Islam.
- Pemikiran yang dituntut oleh Islam di mana ia mengetahui sesuatu berdasarkan hujah dan rasional serta menggunakan kepada pengamalan rapi dan eksperimen yang akal yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. Ketiga-tiga anugerah yang lengkap ini merupakan sumber makrifat dan maklumat sejati.
“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah Al-Nahl 16:78)
Amat wajar bagi seseorang menggunakan pendengarannya untuk penyebaran maklumat sesama mereka dengan perantaraan riwayat, menggunakan penglihatan yang menjadi sumber utama kepada ilmu sains dan menggunakan akal untuk mencari rasional serta menghasilkan sesuatu natijah daripada eksperimen yang tepat.
Alat-alat kelengkapan ini merupakan jendela yang dapat digunakan oleh manusia untuk melihat urusan kehidupan di dunia ini, mengetahui rahsia alam sejagat, makhluk ciptaan Allah, hukum syarak, suruhan dan larangan-Nya.
Sesiapa sahaja yang tidak dapat menggunakan fungsi pancaindera ini dengan betul, mereka akan cepat terbawa-bawa dengan prasangka dan waham, mempercayai media masa, kebatilan dan apa sahaja tanpa usul periksa.
Al-Quran banyak menerangkan tentang penghinaan dan akibat daripada kecuaian memberi fungsi kepada pancaindera tersebut: “Mengapakah engkau tidak menggunakan akal? Mengapakah engkau tidak menggunakan pendengaran? Mengapakan engkau tidak menggunakan pengamatan yang mendalam?”
Perbezaan yang jelas di antara orang mukmin dengan orang kafir ialah orang-orang kafir tidak menggunakan sepenuhnya alat-alat yang dilengkapkan oleh Allah itu sebagai medium untuk mendapatkan makrifat dan hidayah yang murni.
“Mereka memiliki hati (akal) tetapi tidak mahu menggunakannya untuk memahami sesuatu. Mereka memiliki mata tetapi tidak mahu menggunakannya untuk menyelidiki sesuatu. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu menggunakannya sebagai alat makrifat dan penyebaran riwayat. Sikap mereka sama seperti binatang, bahkan lebih daripada itu. Mereka semua adalah orang-orang yang lalai.”
Allah memberi amaran melalui ayat tersebut supaya manusia tidak cuai daripada menggunakan kekuatan yang sedia ada dalam dirinya ke arah mempertingkatkan makrifat dan ilmu.
Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.” (Surah Al-Isra’ 17 : 37)
Allah menggambarkan hamba-Nya yang soleh sebagai mereka yang berjalan di atas bumi dalam keadaan merendah diri. Apalah pentingnya kamu bongkak dan sombong? Apakah kamu dapat menembusi perut bumi? Sekuat mana pun kamu menghentak kaki kamu tidak dapat menembusinya. Setinggi mana pun kamu tegak di bumi kamu tidak mampu menandingi ketinggian bukit.
Oleh itu lebih baik kamu mula melangkah sebagai orang yang tawaduk, sederhana, tenang dan tertib. Berapa ramai kaum yang berada dalam perut bumi ini lebih tinggi daripada kamu? Sekiranya kamu memiliki kekuatan dan kemegahan, berapa ramai pula kaum-kaum yang mati sedangkan mereka lebih perkasa daripada engkau?
Adalah menjadi tuntutan ke atas setiap insan agar mereka memulakan langkah di atas muka bumi secara tawaduk sama ada menggunakan kenderaan atau berjalan kaki.
Terdapat golongan manusia yang cuba hendak menggunakan jalan raya dengan bongkaknya. Seorang yang memiliki kereta besar lagi mewah menggunakan jalan raya tanpa menghiraukan peraturan lalu lintas dan undang-undang seolah-olah mereka ingin merempuh apa sahaja yang ada di hadapannya. Mereka yang bersikap demikian tergolong dalam kumpulan orang-orang yang berjalan di bumi secara sombong.
Kebanyakan kemalangan di jalan-jalan raya berlaku akibat mereka yang bersikap sombong di jalan raya yang tergolong dalam golongan orang diterangkan dalam ayat tersebut.
Sebagai seorang muslim kita memiliki adab sopan sebagaimana yang ditunjukkan di dalam al-Quran. Kita berjalan atau menggunakan jalan raya dengan berhati-hati dan tidak bongkak. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bongkak dan sombong dalam langkah perjalanannya dia pasti akan dimurkai oleh Tuhannya di akhirat.” 1
Ayat di bawah juga bertepatan dengan nasihat Luqman kepada anaknya : “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman 31:18)
Nota
1. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Bukhari dalam “Adabul-Mufrad” daripada Ibn Umar. Al-Haithami dan Al-Mundiri berkata : “Perawi-perawinya adalah orang-orang yang dipercayai.”
Karangan Dr Yusuf Al-Qardhawi
Pembaharuan Pemikiran Islam - Kemana Arahnya?
Al-Qur'an perlu pentafsiran semula. Syari'ah Islam tidak relevan dalam konteks dunia maju hari ini (oleh itu ia tidak perlu dipertahankan !!?). Ajaran Islam tidak membawa kemajuan pada umatnya. Oleh itu perlu suatu pembaharuan pemikiran !!?.
Walaupun isu-isu pembaharuan pemikiran tidak dibahAskan sehebat zaman terdahulu namun arusnya masih kuat dan terus berkembang. Sehingga kini kita masih mendengar lontaran pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan pendapat yang lazim dan difahami ummat. Cetusan pemikiran seperti ini telah mewujudkan beberapa kelompok manusia. Salah satu kelompok manusia adalah mereka yang cenderung mendukung pembaharuan pemikiran. Mereka ini bukan sekadar menjadi pendukung pemikiran ini malah menjadi penerus dan penyebar pemikiran tersebut dengan menerima semuanya tanpa melakukan analisis lebih lanjut. Satu kelompok yang lain pula muncul juga mereka yang menolak pemikiran pembaharuan ini kerana bertahan pada pemahaman Islam secara tekstual. Disamping itu terdapat juga sebahagian besar masyarakat awam yang keliru sedangkan mereka tidak memiliki kefahaman Islam yang cukup untuk menilai masalah ini.
Persoalannya bagaimana Islam memandang dan menerima pembaharuan pemikiran tersebut ?
Makna Pembaharuan. Dalam Islam, pembaharuan dikenali sebagai tajdid. Secara etimologis, tajdid bererti membuat pembaharuan terhadap sesuatu. Dari segi istilahnya ialah pembaharuan pemahaman agama secara syamil dan kamil (sempurna dan menyeluruh) dengan menghidupkan ajaran-ajarannya untuk disebarkan ke seluruh umat manusia.
Dr. Yusuf Qardhawi mendefinisikan tajdid sebagai memelihara inti ajaran Islam, watak atau karakteristiknya dan sendi-sendinya. Pemeliharaan ini bertujuan untuk kembali pada ajaran Islam yang murni seperti pada zaman Rasulullah dan Khulafa' Arrasyidin. Sejajar dengan itu, Al-Maududi pula berpendapat tajdid yang sebenarnya adalah membersihkan ajaran Islam dari berbagai bentuk jahiliyah serta berusaha menghidupkan ajaran Islam yang murni.
Jadi, pembaharuan dalam Islam merupakan suatu usaha untuk mengembalikan ajaran Islam seperti keadaannya ketika ia muncul pada kali pertama. Mengembalikan ajaran Islam yang tulen dengan cara membersih, tanpa mengubah atau menyelewengkannya (inhiraf) serta tanpa perlu menggantikan ajaran Islam dengan fahaman baru bertujuan untuk menyesuaikannya dengan perkembangan zaman.
Pembaharuan pemikiran Islam juga merupakan suatu perjuangan mengembalikan pemikiran umat kepada pemikiran yang sesuai dengan nilai-nilai Ilahiyah serta pemikiran yang sihat dan benar (salimah). Oleh itu pembaharuan pemikiran Islam bukan bererti berfikir untuk menghasilkan formula baru dalam ajaran Islam dengan menghapuskan inti ajarannya. Namun ia bermaksud untuk lebih kontekstual dan rasional serta tetap iltizam dengan paradigma pemikiran Islam.
Fenomena Pengubahsuaian. Kebangkitan umat Islam diiringi.dengan perkembangan peradaban telah menumbuhkan fenomena-fenomena kemajuan umat. Di antaranya adalah tumbuhnya gerakan pembaharuan Islam yang menjadikan prinsip utama gerakannya adalah mengembalikan keagungan umat (izzah) dan keyakinan umat Islam akan nilai-nilai agamanya yang abadi.
Namun dalam waktu yang sama muncul pula aliran pemikiran baru. Aliran ini bergerak di atas dasar ingin menafikan kenyataan kemunduran umat dengan mencari penyelesaian pembaharuan mentaliti mereka. Mereka beranggapan kemunduran umat Islam dalam peradaban kerana keteguhan umat dalam memegang ajaran Islam dan nilai-nilainya. Sedangkan ajaran Islam itu hanya relevan dengan masa lalu yang telah jauh ditinggalkan oleh perkembangan kehidupan manusia. Menurut mereka nilai-nilai Islam tidak lagi memenuhi tuntutan-tuntutan zaman moden. Maka penyelesaian yang paling tepat adalah mengikuti sistem pemikiran Barat yang telah terbukti berjaya dalam kemajuan peradaban.
Bermula dari pendapat inilah timbulnya "pengubahsuaian" dalam gerakan pembaharuan pemikiran. Berikut ini adalah di antara gejala-gejala "pengubahsuaian" dalam pembaharuan pemikiran Islam yang telah berkembang cukup meluas.
[b]1. Bidang Penafsiran Al-Qur'an
Bertitik tolak dari anggapan bahawa interpretasi Al-Qur'an selama ini merupakan model penafsiran klasik dan tidak lagi mengikut konteks semasa. Pemikiran ini berusaha melahirkan gagasan baru dengan membentuk semula model penafsiran yang lebih kontekstual. Contohnya terdapat pendekatan-pendekatan yang didakwa untuk menyenangkan Al-Qur'an diterima oleh manusia. Mereka beranggapan bahawa Al-Qur'an sebagai wahyu yang berasal dari Tuhan memiliki dinding yang sulit ditembusi. Padahal, Al-Qur'an merupakan manhaj yang mengatur kehidupan manusia dan ajarannya sangat manusiawi. Usaha untuk memberi pemahaman penafsiran Al-Qur'an yang meninggalkan dari segi teks ternyata akan menghilangkan ruh dan nilai keislaman serta menjejaskankan kemurniaan Al- Qur'an.
Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa sosio-sejarah yang menjadi latarbelakang turunnya Al-Qur'an kebanyakannya dalam konteks ke "Araban". Sehingga ajarannya juga banyak ditujukan untuk orang-orang Arab, seperti ayat hijab. Golongan ini mengemukakan hujah mereka bahawa hijab sesuai digunakan di negara Arab kerana keadaannya berpasir dan panas. Oleh itu hukum ini hanya layak diguna pakai untuk orang Arab, bukan umat Islam seluruhnya. Akhirnya pemikiran-pemikiran begini akan membawa kita pada suatu tanggapan bahawa semua ajaran dalam Al-Qur'an adalah khusus untuk orang Arab maka tidak wajib kita mengamalkannya.
Yusuf Qardhawi dalam bukunya Bagaimana Memahami Hadits Nabi SAW. mengungkapkan penafsiran seperti ini merupakan ciri-ciri orang jahil yang tidak mengerti Islam serta tidak mampu meresapi jiwa dan semangat Islam. Mereka juga tidak mampu melihat hakikat Islam dengan mata hatinya (bashirah).
2. Memahami Hadis Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW. merupakan penafsiran Al-Qur'an yang amali. Nabi SAW. mencontohkan pengamalan Al-Qur'an dalam kehidupan seharian. Saidatina Aisyah ra. pernah ditanya tentang akhlak Rasulullah, beliau berkata, "Akhlak beliau adalah Al-Qur'an,". Allah juga telah memuji Rasulullah SAW dalam Al-Qur'an dengan firman Nya yang bermaksud ;
"…dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung." (QS al-Qalam :4).
Peribadi baginda yang mempesonakan mampu menarik ramai manusia mengikuti ajaran yang dibawanya. Namun terdapat segelintir manusia yang tidak senang dengan situasi ini. Mereka membuat propaganda untuk mengaburkan pemahaman umat terhadap hadis Nabi SAW.
Dewasa ini muncul pula pemikiran yang ingin memisahkan peribadi Nabi Muhammad sebagai Rasul dengan sebagai manusia. Apabila melihat Muhammad sebagai Rasul, setiap perbuatan dan perkataan Muhammad mutlak kebenarannya dari Allah. Maka sebagai seorang Muslim mereka harus mengikuti dan mentaatinya. Namun apabila melihat Muhammad sebagai manusia biasa, Muhammad tidak luput dari melakukan kesalahan, maka setiap perilakunya tidak semesti diikuti kerana bukan berasal dari Allah.
Motif pemikiran tersebut adalah untuk menanamkan dalam fikiran umat Islam apabila kita mendengar sabda Rasulullah SAW perkara utama yang mesti dilakukan terlebih dahulu ialah memilih adakah Muhammad ketika itu sebagai Rasul atau manusia? Jika sebagai manusia, maka tidak perlu diikuti! Pada hakikatnya mereka meletakkan semua perbuatan dan perkataan Rasulullah sebagai manusia yang tidak perlu ditiru dan bukan merupakan ajaran Islam.
3. Merasionalkan Ajaran Islam
Merasionalkan ajaran Islam bererti meninjau kembali atau mengkritik ajaran Islam dengan akal. Mengkritik ajaran Islam sama dengan meragukan kebenarannya. Dalam hal ini, mereka yang mengikuti aliran pemikiran ini akan menempatkan akal pada peringkat pertama. Bagi mereka akal dapat memahami kebenaran wahyu, maka dalam menetapkan ajaran Islam juga mereka menjadikan akal sebagai sumber pertama dan wahyu Allah jatuh ke tempat kedua.
Bagi mereka, akal adalah segala-galanya dalam kehidupan yang berfungsi secara aktif dan bebas. Parameter untuk mengukur kebenaran adalah rasional atau akal. Kebenaran adalah yang rasional dan kebenaran yang sesuai dengan keadaan alam dan persekitaran. Oleh itu bagi mereka jika ajaran Islam tidak rasional bererti ia bukan kebenaran. Aliran pemikiran ini sungguh mengelirukan umat Islam namun mendapat sokongan kuat sebahagian besar masyarakat yang menggelarkan diri mereka "bertamadun".
4. Mementingkan Aspek Iman
Apabila kita hanya mementingkan aspek iman bererti kita memandang Islam secara separa, tidak menyeluruh. Seperti orang buta yang menggambarkan seekor gajah. Islam tidak pernah memisahkan antara nilai imaniah dan nilai amalan. Iman tidak hanya terhenti pada keyakinan dalam hati, akan tetapi ia juga merupakan pengakuan secara lisan dan mengaplikasikannya di dalam tindakan (amalan).
Ada golongan yang berpandangan bahawa imanlah yang paling penting. Orang yang beriman tanpa beramal masih tetap menjadi seorang mukimin. Segala perbuatan baik atau buruk tidak mempengaruhi iman. Mereka juga berpendapat bahawa jika seorang itu beriman lalu memasuki gereja dan menyatakan dirinya menganut ajaran triniti secara lisan tidak dengan keyakinan dia masih dianggap beriman. Mereka juga berpendapat bahawa untuk mencapai kemajuan mereka tidak perlu memberi penekanan hanya pada amalan seseorang. Yang mengetahui keimanan kita hanyalah Tuhan dan perbuatan bukanlah ukuran keimanan.
5. Sekularisasi dan Liberalisasi Pemikiran
Sekularisasi merupakan natijah daripada pemikiran rasional yang mempertimbangkan segala sesuatu dengan akal. Karakter sekularisasi ialah ingin menolak kekuasaan Tuhan dalam kehidupan manusia yang membawa pada sikap bebas (liberal) dalam menentukan kehidupannya. "Berfikirlah dengan bebas seakan-akan tidak ada Tuhan". Ini merupakan slogan yang melepaskan ikatan manusia dengan Rabb. Ia juga membebaskan manusia daripada aturan yang dibuat Allah seterusnya membebaskan hati dari rasa ketundukan dan ketaatan pada Nya.
Apa yang lebih parah lagi apabila mereka mengatakan bahawa agama pada dasarnya merupakan kepercayaan pada kebenaran Tuhan. Semua agama itu sama, tidak membezakan agama Islam dengan agama-agama lain sebagai suatu manhaj (sistem) kehidupan yang dicipta Allah untuk mengatur semesta alam.
Mereka menyajikan pemikiran-pemikiran di atas dengan begitu tersusun dan indah disertakan pula dengan hujah yang kuat serta mengkagumkan. Ini menyebabkan ramai orang terpesona serta ter "kagum" dengan ucapan dan penampilan mereka. Allah menggambarkan hal itu dalam firman Nya: "Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengar perkataannya. Mereka adalah seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira tiap teriakan yang keras ditujukan pada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya), maka waspadalah terhadap mereka..." (QS al-Munafiqun :4).
Penyelesaian Islam.
Menurut Islam, apa yang perlu diperbaharui adalah keadaan umatnya dalam melaksanakan ajaran Islam. Misi utama pembaharuan Islam adalah mengembalikan izzah umat dan keyakinannya akan tiang agama yang bersifat abadi. Pembaharuan Islam juga bertujuan mengembalikan umat agar melaksanakan ajaran Islam secara murni dengan menghidupkan nilai-nilai Al-Qur'an dan as-Sunnah dalam kehidupan.
Namun hati-hati yang berpenyakit amat cemburu dengan kebangkitan umat Islam. Lalu mereka mengadakan tipudaya ingin memperbaharui ajaran atau syariat Ilahi serta meragukan umat Islam akan kebenaran agamanya. Pembaharuan pemikiran yang mereka katakan sebagai kebangkitan peradaban sesungguhnya adalah usaha memerangi pemikiran (ghazwul fikr) umat Islam yang telah membina peradaban Islam yang dibangunkan atas dasar iman
Oleh itu, langkah-langkah ghazwul fikr seperti tasykik (keraguan terhadap umat) dan tasywih (mengkaburkan nilai-nilai Islam) perlu dijangkakan dengan membangun kekuatan ummah.
Membangun kekuatan akidah.
Akidah merupakan kekuatan yang paling asas dan paling utama. Selama 13 tahun Rasullullah menanamkan akidah para sahabat dengan menggunakan kekuatan ma'nawiyah (kekuatan hati). Akidah yang kuat akan melahirkan kekuatan hati untuk tunduk dan taat pada Allah. Akidah yang kuat yang akan sentiasa membawa seseorang untuk berfikir dengan cara yang benar, sesuai dengan hidayah Allah. Akidah yang kuat juga akan membangunkan peribadi yang siap-sedia menghadapi serangan musuh, kerana sentiasa iltizam memegang nilai-nilai Islam.
Membangun kekuatan akhlak.
Rasullullah SAW. diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Baginda juga adalah manusia yang mempunyai akhlak yang paling mulia. Dengan akhlak, umat Islam dapat menangkis serangan yang datang dari musuh. Akhlak juga dapat menjadi dakwah yang berkesan dengan menampilkan peribadi yang kuat serta mempesonakan seterusnya menjadi qudwah dan tauladan bagi umat.
Membangun kekuatan jihad.
Jihad bukan hanya bererti perang. Jihad adalah perjuangan untuk menghidupkan Islam dalam jiwa umat. Inilah pembaharuan yang dimaksudkan iaitu membangunkan jiwa jihad yang dapat menggerakkan potensi fikiran dan amal untuk mengubah serangan nilai kehidupan yang tidak selari dengan nilai-nilai Islam. Seterusnya menanamkan keteguhan diri dalam mempertahankan al-Haq.
Rasullullah SAW sebagai pengasas peradaban Islam telah menunjukkan bahawa peradaban Islam mestilah didahului dengan membina peribadi-peribadi beriman, berakhlak mulia dan berjihad fisabilillah. Peribadi-peribadi ini yang disebut di dalam Al-Qur'an sebagai generasi yang dicintai Allah dan mereka pun menyintai Nya.
"….nanti Allah akan mendatangkan satu kaum. Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah…" (QS Al-Maidah :54)
Oleh itu bagaimana umat Islam harus berfikir agar selari dengan Islam? Allah SWT memberikan potensi akal pada manusia untuk berfikir bagi membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain. Ungkapan seperti "afala ta'qiluun" dan "afala tatafakkarun" seringkali Allah diungkapkan dalam Al-Qur'an sebagai perintah agar manusia menggunakan akalnya. Ungkapan ini juga sebagai peringatan bagi orang yang tidak mahu berfikir.
Berfikir secara Islam bermaksud menggunakan akal untuk menghasilkan pemikiran yang selari dengan Islam. Seterusnya sentiasa mendukung ajaran Islam yang bersumber dari wahyu atau Al-Qur'an dan as-Sunnah. Akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi pasti membawa manusia kepada kebenaran, ketaatan dan kepatuhan kepada Rabb. Jika berfikir menjadikan manusia lebih sesat nyatalah akal mereka telah dikuasai oleh hawa nafsu.